Britain tarik balik peraturan kuarantin pelawat

LONDON, 28 JUN – Britain semalam mengumumkan akan menarik balik peraturan kuarantin dua minggu ke atas pelawat yang tiba dari beberapa negara ‘berisiko rendah’, selepas mendapat tekanan daripada syarikat penerbangan serta sektor pelancongan.

Kerajaan memaklumkan senarai negara terbabit akan dikeluarkan pada minggu depan. Justeru itu, perbincangan akan diadakan dengan ne-gara lain, termasuk Perancis, Greece dan Sepanyol, di mana perubahan terbabit dijangka berkuat kuasa mulai 6 Julai ini.

“Sistem penilaian risiko yang baharu akan membolehkan kita membuka sebilangan laluan perjalanan selamat di serata dunia dengan berhati-hati,” kata seorang jurucakap kerajaan.

Pejabat Kementerian Luar juga akan mengemas kini panduan perjalanan, yang ketika ini melarang semua perjalanan tidak penting ke luar Britain – AFP