Britain tawar frigat terbaik

SYDNEY, 26 Julai – Setiausaha pertahanan Britain hari ini mendesak untuk membina armada kapal perang seterusnya untuk Australia, berkata frigat yang dicadangkan oleh beliau mempunyai kedudukan terbaik untuk memburu “kapal selam Rusia dan China” di tengah ketegangan serantau.

Australia pada awal tahun ini membutirkan strategi pembinaan kapal berjumlah Aus$89 bilion, termasuk pembinaan kapal selam baru dan frigat, dalam pelaburan tentera laut terbesar negara ketika era aman.

Pertambahan besar dalam perbelanjaan pertahanan keluar tatkala Beijing menunjukkan pengaruhnya di rantau menerusi pembinaan tentera di Laut China Selatan, dan tatkala ketegangan masih tinggi di semenanjung Korea.

Setiausaha Pertahanan Michael Fallon mengemukakan cadangan untuk membina sembilan frigat sebagai sebahagian daripada projek Aus$35 bilion sebelum rundingan menteri pertahanan dan luar negeri Australia-Britain di Sydney pada minggu ini.

Tiga pereka sedang berusaha untuk mendapatkan kontrak besar itu, Systems BAE di Britain, Fincantieri di Itali dan Navantia di Sepanyol, yang digambarkan oleh Canberra sebagai program pembinaan frigat terbesar di dunia buat masa sekarang.

“Anda memerlukan di rantau yang kini tidak stabil dan tegang, seperti yang telah anda putuskan, beberapa keupayaan pemburuan anti-kapal selam dan keupayaan terbaru,” beritahu Fallon kepada akhbar The Sydney Morning Herald.

Beliau berkata Frigat Jenis 26 – kelas yang sedang dibina untuk tentera laut Britain – adalah lebih baik daripada pesaing Itali dan Sepanyol dalam memburu “kapal selam Rusia dan China” di perairan sekitar Australia dan Pasifik.

“Keadaan kapal yang senyap, dan kecanggihan teknologi, menjadikannya jauh lebih maju berbanding mana-mana tawaran Eropah yang mungkin sedang anda pertimbangkan,” kata Fallon.

Satu elemen penting kontrak adalah mesti adanya pembinaan tempatan, dalam satu bidaan oleh Canberra untuk menambah pekerjaan domestik dalam industri pembinaan kapal. – AFP