Britain tawar kerakyatan kepada penduduk HK

LONDON, 2 JULAI – Britain telah menawarkan kewarganegaraan kepada penduduk Hong Kong (HK) sebagai reaksi tindakan China menguatkuasakan akta keselamatan baharunya.

Perdana Menterinya, Boris Johnson berkata pengumuman itu adalah maklum balas langsung berhubung undang-undang penuh kontroversi itu.

Ia dibuat ketika London mengkaji semula hubungan dua hala kedua negara termasuk cadangan China untuk membangunkan jaringan liputan data 5G di United Kingdom (UK).

“Kita berpegang kepada peraturan dan kewajipan,” katanya kepada Parlimen Britain beberapa jam selepas China melakukan penahanan pertama di bawah undang-undang baharu itu.

Johnson berkata akta berkenaan jelas melanggar Deklarasi Bersama Sino-British ketika penyerahan HK kepada China. Beliau berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada Beijing bahawa ia akan memperkenalkan kaedah bagi pemegang penduduk HK yang menjadi pemegang pasport British National Overseas (BNO) untuk berpindah ke UK.

“Itu akan kita lakukan sekarang,” katanya.

Terdapat kira-kira 300,000 penduduk HK yang merupakan pemegang pasport BNO dan 2.6 juta orang lagi layak untuk mengemukakan permohonan.

HK ditadbir oleh UK sehingga diserahkan semula kepada China pada 1997 dengan jaminan bahawa Beijing akan melindungi autonomi wilayah khas itu sehingga tempoh 50 tahun.

Bagaimanapun, China menguatkuasakan akta keselamatan baharu yang dianggap melanggar jaminan berkenaan. – AFP