Britain tutup kedutaan di Korea Utara

SEOUL, 28 MEI – Britain telah menutup kedutaannya di Korea Utara dan semua diplomatnya telah meninggalkan negara itu, kata dutanya hari ini ketika Pyongyang mengekalkan kawalan kemasukan ketat untuk cuba mencegah wabak koronavirus.

Korea Utara telah menutup sempadannya dan menegaskan ia tidak mencatatkan sebarang kes virus yang muncul di negara jiran China lewat tahun lalu yang sejak itu telah melanda seluruh dunia.

Jurucakap Kementerian Luar berkata penutupan sementara Kedutaan Britain itu dibuat berikutan langkah kawalan ketat Korea Utara yang menyukarkan penukaran kakitangan dan pengekalan operasi kedutaan di sana.

Duta Colin Crooks, dalam ciapannya di Twitter, berkata Kedutaan Britain di Pyongyang akan ditutup sementara mulai 27 Mei dan semua kakitangan kedutaan sudah meninggalkan negara itu.

Kedutaan Sweden – yang masih lagi dibuka – membalas mesej itu mengatakan mereka akan merinduinya dan pasukannya serta ‘berharap mereka boleh kembali tidak lama lagi’.

Laman berita NK News melaporkan, diplomat British itu meninggalkan Korea Utara mengikut jalan darat dengan memasuki China semalam. – AFP