British Forces Brunei bantu tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – British Forces Brunei sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan untuk menyokong Negara Brunei Darussalam dalam menangani gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

British Forces Brunei tangkas mengarahkan seramai 75 orang kakitangan perkhidmatan ke pelbagai lokasi di seluruh Brunei sebagai sebahagian dalam sokongan ketenteraan berterusan bagi program-program penghantaran vaksin dan ujian. Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyatakan perasaan amat gembira bahawa kakitangan British Garisson sedang bekerjasama dengan petugas-petugas barisan hadapan Brunei dalam menangani COVID-19.

Beliau menambah bahawa United Kingdom (UK) komited untuk menyokong Brunei yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua buah negara.

Di Pusat Persidangan BRIDEX, Jerudong, seramai 20 orang anggota tentera dari Second Battalion, Royal Gurkha Rifles, sedang mengendalikan ujian swab PCR dengan rakan-rakan sejawat Brunei sebagai sebahagian daripada respons negara kepada gelombang kedua penularan COVID-19.

Anggota tentera berkenaan telah beroperasi di kemudahan ujian swab dalam menyokong petugas tempatan selama lebih seminggu. Ia merupakan sebahagian daripada sumbangan yang lebih luas British Forces Brunei ke arah usaha negara, yang telah menyaksikan tentera British menjalankan vaksinasi dan menyediakan nasihat perancangan kepada Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada 30 Ogos lalu, Komander British Forces Brunei, Leftenan Kolonel Andrew Todd MBE telah mengadakan lawatan ke Pusat Ujian Swab BRIDEX di mana beliau mengulas mengenai profesionalisme yang ditunjukkan oleh anggota tentera muda Gurkha yang sama-sama terlibat dalam usaha menangani COVID-19. Beliau berkata bahawa anggota perkhidmatan mereka bekerja tanpa lelah bersama rakan-rakan Brunei dan sukarelawan lain untuk membantu mengawal penularan virus berkenaan.

Leftenan Kolonel Todd menekankan sifat dan komitmen berkekalan Britain dengan menyatakan bahawa British Forces Brunei adalah komited dalam menyokong Brunei semasa penularan ini.

“Kami akan berdiri bersama Kementerian Kesihatan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk menyokong ujian, vaksinasi atau apa jua tugasan dalam masa yang amat mencabar ini,” tambah beliau.

Anggota tentera British Forces Brunei bekerja dengan rakan sejawat dari Kementerian Kesihatan. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam