Bruce Bochy pengurus Perancis

LOS ANGELES, 13 DIS – Bekas pengurus San Francisco Giants, Bruce Bochy telah bersetuju menguruskan pasukan kebangsaan Perancis dalam kelayakannya untuk kejohanan Besbol Klasik Dunia 2021.

“Saya telah memikirkan seketika mengenai apa yang akan berlaku dalam hidup saya selepas menguruskan Giants,” kata Bochy dalam kenyataan media. “Saya mahu terus terlibat dan memberi kembali kepada besbol. Menguruskan Perancis adalah contoh yang terbaik, bagaimana saya dapat membantu mengembangkan permainan ini.”

Bochy yang berusia 64 tahun, baru-baru ini bersara sebagai pengurus Giants, dilahirkan di Landes de Bussac Perancis ketika bapanya ditempatkan di sana bersama tentera AS.

Perancis gagal melayakkan diri untuk Besbol Klasik Dunia pada tahun 2013 dan 2017.

Bochy menghabiskan 25 musim sebagai pengurus. Dia menghabiskan separuh pertama kariernya dengan San Diego Padres (1995-2006), membawa mereka kepada panji-panji Liga National 1998.

Bochy menyertai Giants pada 2007, memenangi tiga kejohanan Siri Dunia di San Francisco. Dia mempunyai rekod kerjaya dengan 2,003 kemenangan dan 2,029 kekalahan. – AFP

Gambar fail pada 24 September 2019 menunjukkan Pengurus San Francisco Giants, Bruce Bochy (tengah) tersenyum semasa bercakap kepada Bud Black sebelum perlawanan besbol di San Francisco. – AP