BruCERT anjur webinar keselamatan siber

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dalam era globalisasi yang dipenuhi dengan kecanggihan teknologi ini, pasti menjadi cabaran kepada para ibu bapa atau penjaga untuk memantau aktiviti dalam talian anak-anak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terdedah dengan trend terkini.

Sehubungan itu, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) di bawah Cyber ​​Security Brunei (CSB) telah mengadakan sesi webinar yang mengetengahkan mengenai Keeping Your Children Safe Online, baru-baru ini.

Sesi webinar menerusi Zoom itu telah disampaikan oleh Penganalisis Keselamatan Siber CSB, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi yang antara lain menyentuh mengenai pelbagai langkah keselamatan dalam talian untuk anak-anak, di samping menilai kandungan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak yang didedahkan dalam aplikasi popular serta belajar mengenal pasti pembulian siber.

Beliau turut berkongsi bahawa penggunaan Internet menjadi sebahagian besar daripada sistem pendidikan kini, di mana kanak-kanak hari ini mempunyai akses kepada Internet pada usia yang sangat muda dan mereka selesa dengannya.

Dengan kata lain, golongan muda itu kini begitu mudah berinteraksi menggunakan Internet berbanding generasi-generasi terdahulu terutamanya yang belum banyak terdedah dengan pelbagai platform rangkaian media sosial.

Juga dikongsikan bahawa meskipun Internet mampu mewujudkan nilai-nilai positif namun, ia juga secara tidak langsung boleh menjerumuskan pengguna kepada sesuatu yang negatif terutamanya laman-laman yang tidak sesuai seperti pornografi, penggodam dan sebagainya.

Justeru itu, amatlah penting semua pihak terutama sekali golongan ibu bapa atau penjaga sentiasa memantau aktiviti-aktiviti secara maya anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Antara kandungan sesi webinar berjudul Keeping Your Children Safe Online yang dikongsikan oleh Dayang Nomi, baru-baru ini.