BruCERT: Tahap kesedaran keselamatan siber meningkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kajian menunjukkan bahawa 97 peratus responden mempunyai kesedaran bahawa sesuatu insiden sekuriti siber boleh terjadi kepada mereka dan 90 peratus daripada mereka telah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga.

Kajian juga menunjukkan bahawa hanya 3 peratus responden percaya bahawa mereka tidak mungkin akan mengalami insiden sedemikian. Di samping itu, sebilangan besar mereka yang menyatakan bahawa mereka tidak mengambil sebarang langkah berjaga-jaga walaupun tahu insiden berkenaan boleh berlaku kepada mereka adalah golongan yang berusia 29 tahun dan ke bawah.

Dapatan itu merupakan hasil daripada kajian mengenai tahap kesedaran keselamatan dalam talian di kalangan orang ramai yang dikendalikan oleh Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) menerusi kaji selidik dalam talian yang dilaksanakan pada 17 hingga 30 Jun 2021.

Kaji selidik berkenaan dilaksanakan melalui borang kaji selidik dalam talian yang diberigakan kepada orang ramai menerusi akaun Telegram rasmi Gov.bn dan akaun-akaun media sosial BruCERT.

Penyertaan dalam kaji selidik berkenaan adalah secara sukarela dengan tawaran hadiah cabutan bertuah di mana tiga pemenang dipilih secara rambang daripada kumpulan responden.

Kajian yang dibuka dalam tempoh dua minggu berkenaan menerima sebanyak 1,536 respons di mana telefon bimbit pintar merupakan peranti hubungan yang paling dominan dengan 98 peratus responden menggunakannya secara kerap diikuti dengan komputer atau komputer riba iaitu sebanyak 88 peratus.

Kajian itu juga mendapati bahawa 15 peratus responden tidak menukar kata laluan asal (default password) apabila mereka mengenal peranti disambung ke Internet baharu seperti Wi-Fi router.

Hasil dapatan kajian seterusnya menunjukkan bahawa ancaman sekuriti siber yang paling biasa dialami adalah virus iaitu sebanyak 72 peratus manakala sebanyak 45 peratus telah bertemu penipuan atas talian.

Kira-kira satu pertiga responden menyatakan bahawa mereka telah mengalami pengambilalihan atau penggodaman sebuah akaun dalam talian iaitu 32 peratus dan pancingan data iaitu sebanyak 30 peratus.

Dapatan kajian itu mencadangkan bahawa mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an adalah lebih cenderung untuk menjadi mangsa kepada penipuan dalam talian dengan 59 peratus daripada kumpulan usia berkenaan telah mengalami kejadian berkenaan iaitu peratus tertinggi bagi mana-mana kumpulan usia.

Kajian juga mendapati bahawa satu dalam lima orang yang berusia 18 hingga 29 tahun iaitu 20 peratus dan di bawah 18 tahun iaitu 19 peratus pernah mengalami kejadian buli siber, gangguan dalam talian dan doxing.

Kejadian-kejadian lain yang turut didapati dalam kajian berkenaan adalah responden yang menyatakan bahawa mereka pernah mengalami kecurian identiti, akaun e-mel dipecah masuk, pembelian atas talian yang tidak dibenarkan, penipuan peluang pekerjaan, keylogger, vishing dan Wi-Fi kediaman yang digodam.

Kajian juga menanya jika para responden melaksanakan langkah-langlah asas sekuriti siber seperti antivirus, sambungan Wi-Fi selamat serta mengemas kini sistem operasi dan perisian mereka.

Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahawa sebilangan besar orang melaksanakan setiap jenis langkah sekuriti pada 2021 berbanding 2020.

Mengenai two-factor authentication (2FA), kajian mendapati bahawa 69 peratus responden telah melaksanakan 2FA bagi sebahagian atau kesemua akaun mereka manakala 19 peratus adalah tidak sedar apa 2FA itu.

Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang berusia melepasi 50 tahun adalah berkemungkinan tidak mengenali 2FA.

Mengenai perkongsian kod pengesahan, kajian mendapati bahawa 98 peratus responden yang menerima mesej meminta kod SMS enam angka, mereka akan mengabaikan mesej itu manakala 2 peratus lagi, menyatakan bahawa mereka akan mengongsi kod itu jika ia diminta oleh seseorang yang mereka kenali.

Mengenai penggunaan semula kata laluan, kajian itu mendapati bahawa 43 peratus responden menggunakan kata laluan yang sama bagi pelbagai akaun dan ini merupakan petunjuk yang membimbangkan kerana mereka tidak sedar akan bahaya menggunakan semula kata laluan.

Sementara kajian mengenai Wi-Fi awam, mendapati bahawa 58 peratus responden menggelakkan daripada menggunakan rangkaian Wi-Fi awam untuk melakukan aktiviti dalam talian sensitif seperti perbankan atas talian atau membeli-belah.

Sementara itu, kira-kira 23 peratus akan menggunakan Wi-Fi awam jika ia mempunyai perlindungan kata laluan dan 12 peratus lalu akan menggunakannya jika terdapat VPN diletakkan.

Mengenai pautan pancingan data (phishing link), kajian bertanya kepada responden apa yang akan mereka lakukan jika menerima sebuah mesej yang tidak disangka daripada orang yang tidak dikenali yang mengandungi sebuah pautan (link).

Kajian mendapati bahawa hanya 2 peratus yang mengakui bahawa mereka akan menekan pautan berkenaan sementara 87 peratus menyatakan bahawa mereka tidak akan mengendahkan mesej berkenaan serta 11 peratus akan menjawab mesej berkenaan tanpa menekan pautan itu.