Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Ketika negara di seluruh dunia berlumba-lumba mengguna pakai dan membangunkan ekonomi digital, ancaman sekuriti siber juga berubah dengan pesat sekaligus menimbulkan risiko sekuriti yang besar.
Negara Brunei Darussalam juga tidak terlindung daripada bahaya seumpama itu di mana pada 2022 sahaja, sebanyak 496 serangan siber telah dilaporkan kepada Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT).
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 33 peratus adalah berkaitan dengan media sosial, 20 peratus melibatkan penipuan dan selebihnya merangkumi kes-kes malware, penggodaman dan buli siber.
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin (gambar) ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Perancangan Sosioekonomi bagi Brunei: Cabaran-cabaran dan Peluang-peluang’, hari ini.
Walaupun bahaya berkenaan amat membimbangkan, namun ia tidak seharusnya menghalang kita daripada menelusuri dan mengguna pakai sepenuhnya gelombang Revolusi Industri ke-4 (IR4), tambah beliau semasa Forum Ekonomi Brunei ke-2, 2023 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Inovasi teknologi dan pendigitalan mempunyai potensi yang besar dalam membolehkan kita untuk melangkaui model pertumbuhan tradisional. Namun begitu, tegasnya, setiap orang perlu berhati-hati kerana dengan kemudahan yang hadir itu, turut juga hadir risiko yang besar.
Semua itu, jelas Dr Hajah May Fa’ezah, mengundang persoalan bagaimana kita boleh memanfaatkan pendigitalan dan memajukan teknologi yang boleh meningkatkan nilai tambah serta inovasi dan pada masa yang sama, melindungi dirinya dan masyarakat daripada cabaran serta risiko yang pesat berubah.
Terdahulu dalam ucaptama berkenaan, beliau menerangkan bahawa semasa pandemik COVID-19, pendigitalan telah membolehkan kita untuk meneruskan kehidupan seharian dan memastikan gangguan minimum kepada aktiviti-aktiviti ekonomi.
Semua itu telah membawa kepada usaha pendigitalan yang dipercepatkan dan penggunaan pakai oleh kerajaan, perniagaan dan warga awam seperti aplikasi BruHealth, di mana selain perkhidmatan kerajaan, pernia-gaan juga telah memanfaatkan pendigitalan yang dapat disaksikan dengan perubahan platform seperti DART, GoMamam dan HeyDomo.
Menyedari sepenuhnya akan potensi pertumbuhan yang ditawarkan oleh IR4, pihak kerajaan terus berusaha untuk membawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergerak melangkaui daripada hanya menjadi pengguna teknologi (tech-consumer) kepada pengganggu teknologi (tech-disruptor) dengan menggalakkan mereka untuk memanfaatkan teknologi maju supaya dapat meningkatkan nilai tambah dan inovasi.
Dr Hajah May Fa’ezah berkata, usaha itu termasuk penubuhan Makmal Inovasi Brunei iaitu sebuah pemudah ekosistem tempatan yang menggalakkan pembangunan usahawan teknologi menerusi sebuah rangkaian yang merangkumi pemaju, syarikat pemula, perusahaan, ahli akademik dan institusi kerajaan.