BruHealth bergambar elak salah guna

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyambut baik cadangan yang diutarakan semasa sidang media untuk memuat naik gambar pemegang akaun dalam aplikasi BruHealth masing-masing bagi mengelak sebarang penyalahgunaan aplikasi orang lain.

Cadangan itu diutarakan setelah didapati beberapa individu yang mempunyai kod merah dan ungu atau sebaliknya telah menggunakan tangkap layar (screenshot) akaun BruHealth milik orang lain yang mempunyai kod hijau untuk keluar berjalan-jalan.

Oleh itu dengan memasukkan gambar pemilik akaun BruHealth, sekurang-kurangnya ia akan dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Insya Allah, pihak kementerian akan mengusahakan dan mempertimbangkan perkara tersebut untuk memastikan akaun tersebut tidak disalahgunakan oleh orang lain,” kata Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa setakat ini untuk memastikan kesahihan pemilik BruHealth itu sendiri, pihak polis yang melakukan rondaan sekatan jalan raya akan meminta kad pengenalan bagi mengesahkan pemilik sebenar akaun BruHealth yang digunakan.