Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Dalam usaha membantu orang ramai supaya lebih peka akan faktor risiko gaya hidup yang boleh menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit dan gangguan kesihatan mental, aplikasi BruHealth akan memperkenalkan ciri baharu iaitu Health Index atau Indeks Kesihatan.
Fasa rintis bagi ciri baharu berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat, umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025 dan Penandatanganan Memorandum Friends of HPC, sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menerangkan, indeks berkenaan merupakan inisiatif bagi menghasilkan skor kesihatan keseluruhan yang khusus bagi setiap individu berdasarkan beberapa parameter perubatan dan saringan faktor risiko kesihatan.
“Saringan faktor risiko kesihatan menggunakan soal selidik saringan yang disahkan dan termasuk parameter berkaitan kesihatan mental, pemakanan, kegiatan fizikal dan penggunaan tembakau.
“Adalah diharap dengan adanya ciri baharu ini nanti juga akan dapat membantu orang ramai untuk lebih peka akan pelbagai faktor risiko gaya hidup yang boleh menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit dan gangguan kesihatan mental serta mengambil langkah-langkah awal bagi menangani masalah-masalah berkenaan,” ujar beliau.