Brunei akan kaji tawaran buka sekatan perjalanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Amat mustahak untuk memperoleh kembali keyakinan secara perlahan-lahan terhadap perjalanan antarabangsa dan serantau.

Ke arah itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi agensi-agensi yang bertanggungjawab sedang meneliti tawaran-tawaran untuk membuka perjalanan bagi negara-negara luar untuk masuk ke Negara Brunei Darussalam dengan dua tawaran awal iaitu daripada Republik Rakyat China dan Republik Singapura yang telah menawarkan perjalanan secara terhad bagi rakyat mereka terutamanya bagi pegawai-pegawai kerajaan dan ahli-ahli perniagaan yang berkepentingan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa tawaran berkenaan telah diterima dan perbincangan dalaman telah bermula untuk meneliti kriteria-kriteria yang dicadangkan di mana dengan adanya tawaran berkenaan, “Ia membolehkan kita untuk melihat jika Negara Brunei Darussalam bersedia untuk menerima syarat-syarat berkenaan serta syarat-syarat balas boleh kita tetapkan.

“Melalui perbincangan, kita akan dapat menyelaraskan pemahaman bersama dari segi proses dan prosedur supaya kita dapat saling memberi keyakinan.

“Apa yang paling penting ialah untuk perlahan-lahan mengambil semula keyakinan yang hilang dari segi perjalanan antarabangsa dan serantau,” jelasnya lagi.

Beliau menyatakan juga bahawa tawaran daripada Republik Rakyat China telah diterima pada 29 Mei lalu dan tawaran daripada Republik Singapura telah diterima pada 3 Jun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini, di mana mereka menawarkan untuk membuka perjalanan bagi rakyat Brunei dan Singapura untuk masuk ke Malaysia, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia masih belum memberikan tawaran atau cadangan secara rasmi di mana apabila ia sudah diberikan nanti, barulah agensi-agensi yang berkenaan akan dapat menelitinya dengan lebih mendalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua ketika sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Aziz Idris