Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Brunei alami cuaca aktif

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga hujung minggu depan (16 Julai), dengan hujan berangin ribut berlaku sekali-skala, terutamanya pada waktu petang hingga malam dan mungkin berlanjutan ke awal pagi.

    Meskipun negara kini berada dalam monsun barat daya yang mana luruan angin dijangkakan lebih dominan dan atmosfera agak stabil, keadaan cuaca dalam beberapa hari kebelakangan ini bagaimanapun agak aktif.

    Ini kerana ia dipengaruhi oleh tekanan rendah di Laut China Selatan, meng-akibatkan atmosfera lembap seterusnya membawa kepada pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan keadaan cuaca aktif itu akan berterusan sehingga hujung minggu akan datang.

    BDMD turut menyatakan, hujan dijangka sekali-sekala lebat, berangin kencang dan berpetir dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 kilometer sejam (kmsj) di kawasan darat manakala di kawasan perairan Brunei boleh mencapai sehingga 80kmsj.

    Manakala keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana, di bawah 2.0 meter.

    Sehubungan itu, pihak jabatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa keadaan berangin ribut. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari satu jam dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga golongan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak jabatan di samping membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Dalam pada itu, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Untuk mengetahui maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh didapati dengan mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau laman Facebook dan Instagram iaitu @bruneiweather.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...