Brunei alami cuaca panas, kering

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang menghadapi wabak virus COVID-19 dan pada masa yang sama mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, yang boleh menjadi punca kebakaran hutan dan belukar terhasil akibat bahang panas dari dalam tanah.

Di Daerah Belait, kebakaran hutan tanah gambut merupakan salah satu cabaran bagi anggota bomba memadam kebakaran berskala besar yang sering berlaku di daerah itu.

Ia dipercayai berpunca daripada kejadian alam yang mana kebakaran bermula dari api bawah tanah dan juga daripada kecuaian manusia, yang mengambil kesempatan untuk membuat pembakaran terbuka dan ditinggalkan di kawasan-kawasan hutan demi kepentingan masing-masing.

Mengikut statistik panggilan kebakaran hutan dan rumput yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dari Januari hingga 9 April lalu, sebanyak 564 panggilan bersamaan dengan keluasan 726 buah padang bola, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini.

Statistik panggilan bagi Mac hingga April iaitu bermula 1 Mac hingga 9 April bagi kebakaran hutan dan belukar, sebanyak 192 panggilan keseluruhan diterima iaitu sebanyak 127 panggilan bagi kebakaran hutan dan 65 panggilan kebakaran belukar dengan jumlah keluasan keseluruhan ialah 132 hektar iaitu 114.92 hektar bagi kebakaran hutan dan 17.08 bagi kebakaran belukar.

Api dari bawah tanah boleh menjadi satu cabaran kepada anggota bomba dalam memadam kebakaran berskala besar.
Kesan kebakaran rumput yang berlaku di salah satu lokasi di negara ini.
Anggota bomba dan penyelamat bertugas memadam kebakaran hutan dan rumput.

Sementara itu, dari segi pecahan panggilan mengikut daerah, panggilan bagi kebakaran hutan untuk Daerah Brunei dan Muara ialah sebanyak 68 panggilan, Daerah Tutong sebanyak 31 panggilan, Daerah Belait 19 panggilan dan Daerah Temburong satu panggilan.

Manakala itu, panggilan bagi kebakaran belukar untuk Daerah Brunei dan Muara ialah sebanyak 34 panggilan, Daerah Tutong sebanyak 16 panggilan, Daerah Belait sebanyak 15 panggilan dan tiada panggilan bagi Daerah Temburong.

Sehubungan dengan itu, cawangan-cawangan dan balai-balai bomba seluruh negara akan menjalankan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti selalu terjadinya kebakaran untuk tindakan segera dan membuat pemantauan bagi memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini.

Pada masa yang sama, JBP menekankan kepada orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka kerana ianya boleh menjejaskan lagi keadaan cuaca dan boleh mengakibatkan kebakaran berlanjutan dan menjejaskan kesihatan sekeliling, jika mereka mendapati kebakaran kecil di tepi jalan raya, bolehlah dipadamkan menggunakan air atau pasir bagi mengelakkan ia terus merebak.

Para pengguna jalan raya di kawasan-kawasan lebuh raya disarankan untuk memperlahankan kenderaan masing-masing dan sentiasa menyalakan lampu kenderaan semasa melintas di kawasan yang terjejas tatkala berlakunya asap tebal menyelubungi kawasan lebuh raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya serta mengelakkan membuat aktiviti memancing dan memburu di dalam hutan.

Dalam kenyataan itu, JBP turut mengongsikan, Negara Brunei Darussalam telah memasuki tempoh peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga hujung Mei atau awal Jun.

Tempoh itu ialah peralihan daripada monsun timur laut ke monsun barat daya di mana sepanjang tempoh berkenaan, ketiadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian.

Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini dengan purata hari-hari yang berhujan bagi bulan April ialah 17 hari dan bagi bulan Mei ialah 18 hari.

Sepanjang tempoh berkenaan, negara pada lazimnya akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang stabil.

Walau bagaimanapun, hujan lebat atau hujan berpetir masih berpotensi berlaku jika terdapat gangguan sementara atmosfera di tahap rendah dengan keadaan itu akan menggalakkan pembentukan awan dan seterusnya turunan hujan.

JBP menyeru kepada orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan kepada pihak JBP apabila melihat kepulan asap disebabkan oleh kebakaran hutan dan rumput atau sebarang kecemasan melalui talian 995 dan talian aduan Darussalam 123 bagi aduan pembakaran terbuka.