Tuesday, May 30, 2023
24.2 C
Brunei

    -

    Brunei ambil bahagian dalam operasi Interpol

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Brunei Darussalam dan 24 negara lain telah mengambil bahagian dalam operasi yang diselaraskan Interpol yang menyasarkan penyeludupan pendatang asing dan pemerdagangan manusia, baru-baru ini.

    Operasi Storm Makers, yang dijalankan antara 21 hingga 25 Mac yang lalu, menyaksikan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang yang dipercayai memudahkan perjalanan lelaki, wanita dan kanak-kanak Asia merentasi sempadan untuk eksploitasi dan keuntungan, kata Interpol dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

    Negara yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, China, Perancis, Jerman, Greece, Laos, Malaysia, Maldives, Myanmar, Pakistan, Portugal, Qatar, Romania, Singapura, Sepanyol, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Vietnam.

    Operasi yang dirancang oleh Interpol itu menyasarkan penyeludupan pendatang asing dan pemerdagangan manusia telah berjaya membuat penangkapan sebanyak 121 di 25 buah negara, menghasilkan 193 penyiasatan baharu.

    Secara keseluruhan, pihak berkuasa menyelamatkan 80 mangsa pemerdagangan manusia dan mengenal pasti kira-kira 3,400 pendatang asing.

    Unit penyelarasan operasi telah ditubuhkan di Vietnam dan Abu Dhabi, membantu menilai risikan dan memudahkan tindakan penguatkuasaan antara negara yang mengambil bahagian.

    Pintu elektronik pintar, yang disambungkan ke pangkalan data Interpol, telah diaktifkan di lapangan terbang di seluruh UAE) untuk meningkatkan pemeriksaan pasport dan membantu mengesan dokumen palsu.

    Di seluruh dunia, kira-kira 15 juta semakan telah dijalankan terhadap pangkalan data Interpol di sempadan udara, darat dan laut, menghasilkan hits atau amaran untuk dokumen perjalanan penipuan, serta notis Interpol terhadap individu yang dikehendaki atas pelbagai tuduhan, termasuk pembunuhan dan penipuan.

    Setiausaha Agung Interpol, Jürgen Stock, berkata bahawa hanya dalam seminggu, operasi tersebut telah menyebabkan hampir 200 siasatan baharu, mendedahkan skala jenayah ini.

    “Ia adalah tanggungjawab yang besar untuk penguatkuasaan undang-undang, terutamanya apabila anda mengetahui bahawa mangsa berada dalam situasi yang mendera atau mengancam nyawa. Interpol akan terus membantu pihak berkuasa menutup jurang dan memastikan pesalah di sebalik aktiviti mengerikan ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Korea Utara akan lancar satelit pengintip tentera

    SEOUL, 30 MEI - Korea Utara berkata pada hari ini ia akan melancarkan satelit pengintip tentera pertamanya pada Jun dan menyifatkan peninjauan berasaskan angkasa...
    - Advertisment -