Brunei, AS kukuhkan hubungan pertahanan dua hala

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Kementerian Pertahanan dan Indo-Pacific Command (INDOPACOM), Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama (JKPB) ke-15 secara dalam talian, hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua pengerusi bersama, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi) di Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dan wakil dari Perancangan Strategik dan Dasar, INDOPACOM, Brigedier Jeneral Jennifer Short menegaskan komitmen dan keteguhan kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama pertahanan yang wujud antara kedua-dua buah negara.

Kedua-dua belah pihak juga melahirkan rasa berpuas hati dengan momentum positif yang berterusan dalam hubungan pertahanan dua hala, walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19, menekankan bahawa kedua-dua pihak memandang tinggi hubungan dua hala tersebut.

Kedua-dua negara turut membincangkan kerjasama pertahanan dan ketenteraan dalam bidang kepentingan bersama yang terkandung di bawah memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan yang ditandatangani pada 29 November 1994, antara lain termasuk pertukaran lawatan, latihan, kursus dan eksesais.

Pengerusi bersama Negara Brunei Darussalam juga menyampaikan rasa penghargaan atas sumbangan AS ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau ini, termasuk melalui platform Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus).

JKPB Brunei Darussalam-AS diadakan secara berkala untuk menguruskan hubungan pertahanan dua hala kedua-dua negara sejak penubuhannya pada tahun 1994, menyumbang ke arah memperkaya dan meningkatkan pembangunan kapasiti, profesionalisme dan persefahaman bagi pegawai pertahanan dan ketenteraan kedua-dua belah pihak.

Haji Adi Ihram ketika menghadiri mesyuarat tersebut secara dalam talian. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan