Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Brunei, Australia adakan Mesyuarat JDWC ke-19

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Kementerian Pertahanan, Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Pertahanan Australia telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama (JDWC) ke-19 secara bersemuka di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, kelmarin.

    Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi) di Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dan Penolong Setiausaha (Asia Tenggara), Divisyen Dasar Antarabangsa, Jabatan Pertahanan Australia, David Lewis.

    Mesyuarat JDWC mengesahkan hubungan pertahanan dan ketenteraan yang positif dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Australia.

    Ia juga membincangkan perkembangan kerjasama pertahanan dua hala serta meneroka prospek masa depan untuk penglibatan pertahanan yang akan datang.

    Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan tentang dinamik keselamatan serantau, dan mengimbas pengerusian bersama kitaran ke-4 Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus mengenai Perubatan Tentera (ADMM-Plus EWG on MM).

    JDWC antara Brunei dan Australia telah ditubuhkan melalui memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Australia yang ditandatangani pada 10 Mei 1999.

    MoU berkenaan berfungsi sebagai rangka kerja untuk memupuk hubungan pertahanan dan kerjasama yang lebih erat antara Kementerian Pertahanan dan angkatan tentera kedua-dua negara, seperti kursus dan latihan, eksesais ketenteraan, pertukaran maklumat mengenai perkara-perkara yang berkaitan keselamatan dan pertukaran lawatan antara pegawai-pegawai kanan pertahanan dan tentera masing-masing.

    Haji Adi Ihram semasa mempengerusikan Mesyuarat JDWC ke-19 yang diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison3. – Gambar serahan ABDB

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...