Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Pasukan kebangsaan Brunei Darussalam bawah 19 tahun (B19) akan memulakan kempen mereka dalam Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia (AFF) B19 2022 menentang pasukan Myanmar dalam kumpulan A di Stadium Madya Senayan, Jakarta, Indonesia, pada 2 Julai ini.
Skuad Tabuan Muda akan meneruskan perlawanan peringkat kumpulan mereka menentang pasukan tuan rumah Indonesia, dua hari kemudian di Stadium Patriot Candrabhaga, diikuti dengan perlawanan menentang Vietnam pada 6 Julai di tempat yang sama.
Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan B19, Haji Faizalani bin Haji Abdul Ghani mengongsikan bahawa mereka akan berdepan dengan pasukan Thailand pada 8 Julai sebelum menamatkan kempen kejohanan menentang Filipina pada 10 Julai nanti.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 13 Julai.
Manakala itu, juara bagi pusingan perlawanan separuh akhir akan mara ke perlawanan penentuan yang akan berlangsung pada 15 Julai.
Pasukan Kebangsaan B19 berharap dapat memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan dalam kumpulan mereka.