Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Pasukan bola sepak Brunei Darussalam akan bertemu Timor Leste esok (pukul 3:45 petang waktu tempatan) dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Mitsubishi Electric Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Pasukan Tabuan itu tekad untuk mencari kelebihan dengan mendahului secara agregat sebelum perlawanan timbal balik tiga hari kemudian di lokasi yang sama.
Pemenang bagi perlawanan ini akan mendapat tempat dalam Kumpulan A bersama pasukan dari Thailand, Filipina, Indonesia, dan Kemboja.
Ini merupakan ujian pertama pasukan kebangsaan di bawah kendalian jurulatih baharu, Mario Rivera Campesino.
Dalam pada itu, pasukan kebangsaan telah membina keyakinan selepas kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Laos, dengan pemain tengah, Naziruddin bin Haji Ismail mencetak gol di arena antarabangsa.
Pasukan Brunei berharap untuk mara ke peringkat kumpulan yang mana kali terakhir mereka berjaya ialah pada edisi 1996.
