Brunei Bakal hos Sukan SEA 2027?

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Negara Brunei Brunei Darussalam disebut-sebut sebagai bakal tuan rumah Sukan Asia Tenggara (SEA) dalam tahun 2027, tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan, pada mesyuarat maya Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) baru-baru ini.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan menyertai mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Ngoc Thien yang juga presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dipetik oleh Bernama menyatakan bahawa Brunei sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-34 dalam tahun 2027, namun belum mengesahkan statusnya kerana perlu membincangkannya dengan kerajaan terlebih dahulu.

Vietnam dijadualkan menganjurkan Sukan SEA ke-31 hujung tahun depan, Kemboja dijangka menjadi tuan rumah bagi tahun 2023, Thailand pada 2025 dan Laos pada 2029.

Mesyuarat Majlis SEAGF juga membincangkan dan mempertimbangkan rayuan daripada 10 negara ahlinya bagi memasukkan 22 jenis sukan dan tiga disiplin baharu.

Vietnam dijangka memuktamadkan senarai panjang jenis sukan tersebut dan tarikh ahli ASEAN bersidang semula pada mesyuarat akan datang pada November ini.

Mesyuarat itu juga menerima 36 sukan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Olimpik Vietnam untuk disenaraikan dalam program Sukan SEA ke-31 dan menerima laporan Sukan SEA ke-30 di Filipina yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Operasi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Ramon Suzara.