Brunei bakal jadi pembekal ikan salmon Atlantik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Negara Brunei Darussalam bakal mempunyai sebuah fasiliti penternakan ikan salmon Atlantik terbesar dan pertama dibina di Asia Tenggara sekali gus mampu menerajui usaha ke arah mencapai pengeluaran makanan mapan.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Dana Modal Pembangunan Strategik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan 8F Asset Management Pte Ltd bagi penubuhan fasiliti penternakan ikan Salmon Atlantik itu yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Brunei hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menandatangani MoU bagi pihak Dana Modal Pembangunan Strategik ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah manakala 8F Asset Management pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekuifnya, Karim Ghannam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Terdahulu sebelum penandatanganan MoU tersebut, Karim Ghannam dalam kata-kata aluannya mengatakan, MoU tersebut akan menyediakan rangka kerja bagi kerjasama pelaburan ke dalam penubuhan sebuah fasiliti penternakan ikan salmon Atlantik menggunakan teknologi, Recirculating Aquaculture System (RAS) dengan kapasiti penghasilan sebanyak 10,000 tan ikan setahun.

Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Karim Ghannam sejurus majlis penandatanganan. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Karim Ghannam dan Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bergambar ramai pada majlis itu.

Menurutnya lagi, ia akan menjadi fasiliti terbesar dan pertama di Asia Tenggara yang bukan sahaja akan menyaksikan pembekalan ikan salmon bagi pasaran serantau dan Asia Tenggara tetapi ia juga akan menjana sebanyak 145 peluang pekerjaan untuk anak tempatan. Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan serta boleh menjadi model yang dapat diikuti oleh negara lain.

Pengurusan fasiliti itu akan dikendalikan oleh Pure Salmon Pte Ltd, sebuah syarikat pengurusan antarabangsa bagi pelaburan-pelaburan 8F Asset Management Pte Ltd.

Syarikat itu bertanggungjawab bagi menyediakan pelbagai kepakaran dalam penternakan ikan salmon Atlantik termasuk penetasan, penghasilan, pemprosesan, pembekalan, penjagaan kualiti dan pengurusan jenama kepada fasiliti-fasiliti yang diurusnya.

Kemudahan itu akan menggunakan kaedah Sistem RAS dalam pengaliran, penapisan dan pengoksigenan air penternakan tanpa penggunaan antibiotik atau racun perosak dan seterusnya akan memastikan ikan-ikan tersebut bebas daripada penyakit-penyakit bawaan laut.

Setelah beroperasi, projek itu dijangka akan dapat membekalkan produk-produk ikan salmon Atlantik seperti filet dan salmon salai ke pasaran serantau dan juga tempatan.

Projek itu juga dihasratkan dapat menarik minat pelabur asing lain ke negara ini.