Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei bakal jadi tumpuan pemain golf dunia

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt –Negara Brunei Darussalam sekali lagi akan menghoskan Kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) buat kali kedua yang akan berlangsung pada 24 hingga 27 April 2019 depan.

    Sehubungan itu, satu sidang media telah diadakan pagi tadi bertempat di Member’s Grill & Lounge, The Empire Hotel & Country Club.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Haji Mohd Junaidi bin POKDG Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman pada sidang media tersebut bahawa seramai 10 pemain Brunei akan mewakili negara pada kejohanan yang akan menawarkan hadiah berjumlah AS$75,000 itu.

    Kejohanan yang juga dikenali sebagai Brunei Championships 2019 itu turut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selain sektor swasta.

    Hadir pada sidang media berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

    Brunei Championships 2019 yang dikendalikan oleh SPS Innovative Enterprise tersebut akan diadakan di Padang Golf The Empire Hotel and Country Club seperti pada tahun sebelumnya. Selaku pemenang ADT pada tahun lalu, Kiradech Aphibarnrat yang ketika ini menduduki tempat ke-40 dalam ranking pemain golf profesional dunia akan dijangka turut berentap pada kejohanan tahun depan bagi mempertahankan kemenangan yang diperolehnya pada bulan Mac yang lalu.

    Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Jelajah dan Pemain dari pihak Jelajah Asia, Unho Park turut berkata dengan adanya kejohanan Brunei Championships ini, ia diharap dapat meningkatkan lagi industri pelancongan di negara ini.

    Manakala Pengarah Golf and Leisure The Empire Hotel and Country Club, Stan Everitt pula berkata bahawa dengan kejayaan kejohanan yang berlangsung pada bulan Mac yang lalu pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan mutu kejohanan pada masa yang akan datang.

    Beliau turut memberitahu bahawa kejohanan ini merupakan suatu landasan yang baik bagi para pemain golf profesional di negara ini untuk menunjukkan bakat mereka, selain bagi mempromosikan lagi sukan golf dan menjadikan kejohanan ini sebagai batu loncatan bagi merangsang perkembangan sukan golf di negara ini khususnya untuk generasi akan datang.

    Gambar ramai selepas sidang media yang berlangsung kelmarin di Member’s Grill & Lounge, The Empire Hotel & Country Club.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda