Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Brunei bakal sertai sukan Asia Tenggara ke-31

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31, Vietnam 2021 bermula pada 12 hingga 23 Mei 2022.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada 39 orang iaitu 23 orang atlet dan 16 orang pegawai termasuk chef de mission, urus setia, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai perubatan.

    Atlet dan pasukan negara akan menyertai empat acara sukan iaitu e-sukan, karatedo, pencak silat dan wushu.

    Sementara itu, kontinjen negara akan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku chef de mission.

    Acara-acara dalam sukan karatedo, pencak silat dan wushu merupakan acara sukan yang boleh memberi saingan di Sukan SEA nanti. Manakala penyertaan negara dalam acara sukan e-sukan adalah yang pertama di Sukan SEA.

    Keramaian atlet bagi sukan-sukan yang disertai adalah lima atlet daripada sukan karatedo, empat daripada sukan pencak silat, empat daripada wushu dan 10 daripada sukan e-Sukan.

    Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977. Hingga ke hari ini negara telah memperolehi 14 pingat emas, 56 pingat perak dan 184 pingat gangsa secara keseluruhan, di mana pencapaian terbaik negara adalah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

    Kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai Sukan SEA ialah pada tahun 2019 di Republik Filipina dengan memperoleh dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa.

    Sebagai persediaan Sukan SEA kali ini, atlet-atlet dan pasukan negara telah menjalani latihan di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dibawah bimbingan jurulatih-jurulatih kebangsaan negara dengan mematuhi garis panduan COVID yang ditetapkan negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...