Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Pasukan Negara Brunei Darussalam yang menang menewaskan Pasukan Filipina dalam acara Bola Jaring di sebelah petang hari ini.
Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selaku pengurus pasukan dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul ‘Aleem.
Menurut jurulatih bola jaring kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Thilaka Jinadasa semalam bahawa perlawanan menentang pasukan Filipina akan menjadi perlawanan penghembus semangat para pemain.
Perkara itu menjadi kenyataan apabila pasukan bola jaring negara tampil gah dengan kemenangan besar ke atas pasukan Filipina dengan mata 69-32 di Stadium Juara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.
Menurut Thilaka, kemenangan hari ini adalah meniup semangat yang menggalakkan bagi pemain bagi perlawanan seterusnya berhadapan pasukan yang sememangnya kuat dan diketahui pantas corak permainannya iaitu pasukan Thailand.
“Hari ini kita banyak membuat hantaran panjang ekoran kebolehan kita bergerak lebih pantas menentang Filipina dan strategi yang sama tidak akan digunakan esok ketika menentang pasukan Thailand,” ujarnya.
Menurutnya lagi, corak permainan Brunei dan Thailand akan serupa namun apa yang penting ialah semua posisi perlu diperlengkap dan sentiasa peka dengan perubahan dan pergerakan pihak lawan.
“Saya yakin serangan kita esok akan mempunyai rentak tersendiri dan saya berharap mereka akan bergerak lebih pantas daripada biasa untuk memberikan Brunei kelebihan berbanding Thailand esok,” tambah Thilaka.
Pasukan Bola Jaring Brunei Darussalam hari ini menewaskan pasukan Filipina dengan jaringan 16–5, 16–6, 18–10 dan 19–11, menjadikan kedudukan akhir berpihak kepada Brunei Darussalam dengan mata 69-32.