Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Brunei, Bangladesh meterai empat perjanjian penting

    Gambar oleh Infofoto

    DHAKA, 16 OKT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh mengukuhkan lagi kerjasama dua hala apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian penting antara kedua-dua buah negara.

    Penandatanganan itu berlangsung semasa Baginda berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan dan Mesyuarat Dua Hala bersama Puan Yang Terutama di Pejabat Perdana Menteri, seterusnya Baginda berkenan mengadakan lawatan ke Muzium Peringatan Bangabandhu di Dhaka, Bangladesh.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda Sultan dialu-alukan oleh Puan Yang Terutama Sheikh Hasina sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan perjumpaan dan mesyuarat dua hala.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menyaksikan penandatanganan salah satu perjanjian bersama PYT Sheikh Hasina.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengadakan lawatan ke Muzium Peringatan Bangabandhu.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri
    Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan mengadakan perjumpaan bersama PYT Sheikh Hasina di Pejabat Perdana Menteri.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama PYT Sheikh Hasina ketika menyaksikan penandatanganan MoU antara Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Imran Ahmad.

    Antara yang dibincangkan pada mesyuarat itu termasuklah hubungan dua hala dan kerjasama serta usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara melalui pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perkapalan, buruh dan tenaga dan satu perjanjian dalam bidang perkhidmatan udara.

    Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama baharu yang dapat diterokai oleh kedua-dua buah negara.

    Baginda Sultan dan Puan Yang Terutama kemudian menyaksikan majlis penandatanganan MoU dan satu perjanjian antara kerajaan Brunei dan Bangladesh.

    Penandatanganan pertama ialah Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku wakil kerajaan Brunei manakala kerajaan Republik Rakyat Bangladesh diwakili oleh Menteri Negara, Kementerian Penerbangan Awam dan Pelancongan, Tuan Yang Terutama Md Mahbub Ali.

    Di bawah perjanjian ini, Brunei dan Bangladesh bersetuju untuk menubuhkan dan mengendalikan perkhidmatan udara antara kedua-dua buah negara bagi mengenal pasti perkhidmatan yang cekap dan berdaya saing. Ia bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, perdagangan, pelancongan, pelaburan dan kebajikan para pengguna serta mengakui kepentingan perkhidmatan sebagai cara untuk mewujudkan dan memupuk hubungan.

    Seterusnya, MoU Pengambilan dan Perekrutan Pekerja Bangladesh telah dimeterai oleh wakil kerajaan Brunei, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman manakala Bangladesh diwakili oleh Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pengambilan Luar Negara, TYT Imran Ahmad, yang bertujuan mewujudkan satu mekanisme memantau, perekrutan dan hak serta kewajipan pekerja dan majikan dikuatkuasakan mengikut undang-undang dan peraturan Brunei.

    Manakala MoU mengenai kerjasama dalam pembekalan gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Menteri Negara Kementerian Sumber Kuasa, Tenaga dan Mineral Bangladesh, TYT Nasrul Hamid.

    Skop dan hasrat penyambungan MoU ialah untuk Brunei Energy Services and Trading (BEST) mengenal pasti peluang-peluang bagi mendapatkan sumber LNG dan produk-produk petroleum yang lain seperti LPG daripada pihak-pihak ketiga untuk dibekalkan kepada Bangladesh.

    MoU terakhir yang ditandatangani ialah kerjasama mengenai Pindaan Pengiktirafan Sijil di bawah Terma-terma Konvensyen Antarabangsa Mengenai Standard Latihan, Pensijilan dan Penugasan Pelaut 1978 yang turut ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew manakala Bangladesh diwakili oleh Menteri Negara bagi Perkapalan, TYT Khalid Mahmud Chowdhury.

    MoU ini merupakan pengiktirafan dua hala ke atas piawaian latihan dan pensijilan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak dan membenarkan para pelaut dari kedua-dua buah negara untuk bekerja di atas kapal laut berpendaftaran Negara Brunei Darussalam ataupun Bangladesh.

    Sebelum berangkat meninggalkan Pejabat Perdana Menteri, Baginda disembahkan ucapan selamat berangkat oleh PYT Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh.

    Pada awal petang pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Muzium Peringatan Bangabandhu.

    Menjunjung keberangkatan Baginda ialah anak perempuan Bapa Kenegaraan Bangladesh, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, Rehana Siddique.

    Baginda seterusnya dijunjung meletakkan kalungan bunga dan menyaksikan pameran-pameran muzium.

    Pada penghujung lawatan, Baginda dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani buku pelawat.

    Muzium berkenaan adalah bekas rumah kediaman peribadi Sheikh Mujibur Rahman, bapa pengasas yang merupakan Presiden Bangladesh yang pertama.

    Rumah tersebut telah dirasmikan sebagai muzium pada 14 Ogos 1994.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...