Oleh Imelda Groves HA
‘DURIAN Runtuh’ merupakan simpulan bahasa bagi seseorang yang mendapat keuntungan besar yang tidak diduga, namun durian runtuh itu benar-benar terjadi apabila timbunan raja buah itu kini memenuhi semua ceruk perniagaan strategik untuk buah bermusim di negara ini.
Longgokkan raja segala buah memenuhi beberapa tempat jualan buah-buahan di negara ini selepas musim buah bermula pada pertengahan Disember lalu.
Negara Brunei Darussalam juga turut menikmati buah-buahan bermusim daripada penjual di pasar-pasar berhampiran, di tepi-tepi jalan raya, malah ada yang turut menggunakan media sosial untuk mempromosikan buah durian.
Semasa tinjauan ke Pasar Pantai Jerudong, Media Permata mendapati beberapa khemah tersusun dengan longgokkan buah durian pelbagai jenis, warna dan bentuk menunggu pelanggan.
Haji Wasli bin Haji Mohd Daud di Pantai Jerudong yang sedang mengikis kembayau menyambut baik kedatangan kami sambil meneruskan kerjanya menjual buah-buahan bermusim yang lainnya tetapi khemahnya banyak buah durian berbanding buah lain.

Beliau yang berusia 63 tahun itu menceritakan bahawa musim buah ini bermula sejak pertengahan bulan lepas dan hari ini mungkin menghampiri penghujungnya.
“Iatah sudah musim durian runtuh ni, pasal buah ani runtuh dari pohonnya lebih banyak daripada ketika musim ani bermula. Jadi, harga buah durian jauh lebih murah berbanding sebelumnya,” jelas beliau yang telah mula dalam jualan buah-buahan sejak tahun 1970-an lagi.
Menurut beliau, pada permulaan musim, harga durian Putih sahaja dijual secara timbang kira-kira $20 sekilogram tetapi hari ini pelanggan boleh mendapatkanya pada harga $8 hingga $10 seikat yang mengandungi lima atau enam biji bergantung kepada saiznya.
Begitu juga dengan durian Kuning yang dijual seikat dengan harga $20 hingga $25 beberapa minggu yang lalu namun hari ini harganya pun turut jatuh kerana lambakan di pasaran.
Katanya lagi, durian Putih dan durian Kuning adalah antara yang diminati namun juga terdapat pelbagai jenis buah durian yang lain turut dicari oleh para pelanggan beliau.
“Macam-macam nama durian ani, tapi yang selalu kana cari durian Putih, durian Kuning, durian Utak Udang Galah, durian Suluk, durian Pulu/Kulu, durian Kulit Merah dan macam-macam lagi,” jelasnya yang memborong buah-buah bermusim beliau dari negara jiran.
Katanya lagi, di negara ini dikhabarkan juga terdapat buah durian tempatan yang hampir sama dengan buah-buah yang terdapat di negara jiran tetapi pada skala yang kecil dan ketika ini terdapat di kampung-kampung seperti Lamunin dan Lumapas.


Ditanya mengenai tip dan cara untuk mendapatkan atau mengetahui buah durian tersebut bagus atau buruk, beliau memberitahu bahawa untuk menghidu baunya terlebih dulu kerana dari baunya dapat diketahui sama ada buah tersebut berbaloi untuk dibeli.
“Selain atu, liat jua bulunya (duri), kadang-kadang kalau luar bulunya atu buruk, inda tah baik di dalamnya tu. Ada jua orang membagitau, kalau durinya atu jarang atau basar-basar juga menunjukkan buah di dalamnya lunak,” jelasnya lagi yang juga menurunkan ilmu berjual kepada anak-anak beliau.
Beliau juga memberitahu buah durian yang ada sekarang ini (sambil menunjuk longgokkan buah durian yang dijual beliau) mesti habis terjual hari ini kerana esok akan datang lagi stok durian yang baru dari negara jiran.
“Hari-hari kami menjual, mesti habis durian ani, pasalnya ia inda kan tahan lama kalau disimpan batah-batah. Jadinya, kami kan melelong buah-buahan ani dengan harga yang lebih murah lagi sambil menawarkan beberapa promosi lain contohnya beli satu dapat satu, tertakluk kepada keadaan,” ujarnya lagi.
Walau bagaimanapun, buah durian yang sedikit masam juga dapat dijeruk dan dijadikan sebagai tempoyak dengan mencampur isinya dengan garam dan perisa yang tertentu dan boleh dinikmati dengan menambah cili padi.
Selain tempoyak, durian juga dipelbagaikan dalam masakan. Seperti bubur durian yang juga biasanya dicampur dengan kacang hijau, jagung dan sebagainya mengikut cita rasa masing-masing.
Untuk mengetahui tanda-tanda berakhirnya musim buah ini, beliau memberitahu apabila buah Rambai atau Tampoi sudah mula dijual, ia merupakan penanda penghujung musim.