Brunei bantu bina kediaman mangsa bencana Sulawesi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Sebanyak 75 unit rumah atau hunian tetap di bawah Projek Perkampungan ASEAN yang dikendalikan oleh ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) telah diserahkan dalam majlis yang diadakan menerusi persidangan video pada 16 April lalu, di antara pihak AHA Centre dan kerajaan wilayah Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urus Setia Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini, kelmarin.

Menurut kenyataan itu, projek itu telah dibiayai bersama oleh Negara Brunei Darussalam, Republik Filipina dan Australia, yang mana 31 unit daripada 75 unit rumah yang telah diserahkan di bawah projek berkenaan merupakan hasil sumbangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi Negara Brunei Darussalam.

Majlis menyaksikan Datuk Bandar Kota Palu, Drs Hidawat, menerima 75 unit rumah di bawah Projek Perkampungan ASEAN secara simbolik di Tondo, Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia daripada wakil AHA Centre.

Menurut kenyataan itu lagi, secara keseluruhannya, Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi Negara Brunei Darussalam telah berjaya mengutip sebanyak $545,955.61iaitu hasil sumbangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di mana ia telah disalurkan dalam dua fasa kepada pihak AHA Centre bagi pembinaan Projek Perkampungan ASEAN.

Dalam fasa pertama, sebanyak 31 unit rumah telah dibina dengan perbelanjaan sebanyak $272,000 dan fasa kedua akan diteruskan sehingga akhir tahun 2020 dengan pembinaan 25 rumah tambahan dan sebuah masjid yang mampu menampung seramai 200 orang jemaah dengan pembiayaan baki Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi Negara Brunei Darussalam berjumlah $273,955.61.

Semasa majlis penyerahan 75 unit rumah, pihak AHA Centre dan datuk bandar Kota Palu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di atas sumbangan yang penuh bermakna dalam menghasilkan pembinaan kediaman-kediaman tetap bagi keluarga–keluarga yang terjejas akibat bencana gempa bumi dan tsunami di Kota Palu.

Pemindahan keluarga ke kediaman tetap pada masa ini juga bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan selaras dengan hasrat kerajaan Republik Indonesia bagi pemindahan untuk dilaksanakan sebelum bulan Ramadan.

Pemandangan 75 unit rumah di bawah Projek Perkampungan ASEAN yang telah siap dibina yang mana 31 unit adalah sumbangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan KKBS