Brunei bebas buli terus diperjuangkan

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 12 JULAI – Bagi mengurangkan dan mengubah tingkah laku buli dalam kalangan pelajar secara progresif dan proaktif, Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengadakan Bengkel Brunei Bebas Buli (3B) di Tingkat 2, Bilik Team Synergy 2, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), hari ini.

Bengkel yang selaras dengan salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035 yang menginginkan masyarakat di negara ini hidup harmoni itu telah dihadiri oleh seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan wakil pelajar di Daerah Tutong.

Dalam bengkel itu, pada peserta membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan buli dan langkah-langkah pencegahannya sekali gus berfungsi sebagai kumpulan sasaran bagi memberigakan kempen kesedaran 3B di peringkat sekolah-sekolah di seluruh negara pada masa akan datang.

Bengkel sehari itu bermatlamat bagi menangani isu buli dan implikasinya terhadap mangsa, pembuli dan saksi serta menurunkan kadar kejadian buli di sekolah-sekolah.

Di samping itu, ia juga bertujuan sebagai salah satu strategi untuk mempromosikan budaya bebas buli dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuklah pelajar-pelajar sekolah mengenai perbuatan buli dan kesan-kesan negatif serta pencegahannya dari semasa ke semasa.

Berdasarkan dapatan kaji selidik kesihatan The Global School-Based Health Survey (GSHS) 2014 daripada PPK, secara keseluruhannya seramai 2,599 orang pelajar dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun dari sekolah kerajaan dan bukan kerajaan di negara ini terlibat dalam beberapa amalan cara hidup yang berisiko.

Dayang Nor Syahmun (kanan) bersama wakil dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan (kiri) dan salah seorang peserta dari PIBG Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman Tutong (tengah) bergambar bersama poster kesedaran isu buli selepas Bengkel 3B berakhir, kelmarin.