Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Jauh lebih awal daripada jangkaan awal, Cabaran Satu Bilion Langkah telah berjaya dicapai pada hari ini.
“Cabaran tersebut yang disertai oleh lebih 43,000 peserta telah dicapai dalam masa lapan hari 3 jam dan 41 minit iaitu satu masa yang lebih pendek daripada tempoh satu bulan dalam jangkaan awal,” Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar memaklumkan semasa sidang media COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Menurut beliau, majlis penyampaian hadiah kepada 20 peserta yang mencatat pencapaian tertinggi dalam kempen itu akan diadakan pada awal September depan.
Berikutan dengan kejayaan tersebut, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa cabaran-cabaran seterusnya di bawah inisiatif BN on the Move sedang giat dirancang dan akan dimaklumkan kepada orang ramai apabila sedia untuk dilaksanakan kelak.
Semasa sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato berkata, pencapaian dalam jangka masa yang sangat singkat itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan dan memberangsangkan serta menunjukkan bahawa penduduk negara ingin ikut serta dalam sama-sama meningkatkan aktiviti fizikal.
Pencapaian yang sangat menggalakkan itu, tambahnya, adalah sebagai titik permulaan bagi cabaran seumpama berkenaan di mana pada awalnya, menyasarkan tempoh tiga bulan untuk mencapai matlamat cabaran sebelum dikurangkan kepada sebulan tetapi kini, menyaksikan ia dapat dicapai dalam masa hanya kira-kira lapan hari.
Beliau menggalakkan orang ramai untuk meneruskan aktiviti riadah dan berjalan sehingga hujung bulan untuk mendapatkan jumlah keseluruhan langkah yang dapat dikumpulkan dalam tempoh sebulan.
Daripada sana, tambahnya, kita dapat merancang apa sasaran kita seterusnya di mana ia bukan hanya menyasarkan jumlah langkah tetapi juga jumlah peserta yang menyertai cabaran seterusnya serta untuk melihat jika aktiviti atau kegiatan fizikal berkenaan akan berterusan atau sebaliknya, dalam sama-sama menjaga kesihatan masing-masing.
Pada sidang media itu, Yang Berhormat Dato menyeru semua untuk terus aktif dan melakukan aktiviti-aktiviti kesukanan dan riadah bagi memastikan kita dan keluarga kita sentiasa dalam kesihatan yang baik dan optimum.
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai yang belum menyertai inisiatif BN on the Move, untuk mendaftar dan menyertai inisiatif tersebut dalam aplikasi BruHealth masing-masing.
“Teruslah bergerak untuk kesihatan, setiap langkah adalah penting. Every little move counts!,” seru beliau.