Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Brunei berjaya eksport lebih 12,000 tan baja urea

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan BFI

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengembangkan lagi industri hiliran minyak dan gas negara, melakarkan detik bersejarah apabila Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) berjaya mengeksport produk baja urea pertama ke Thailand pada 3 Februari lalu.

    Sebanyak 6,200 tan metrik baja urea dieksport ke Thailand diikuti pengeksportan kedua ke Korea Selatan berjumlah 6,100 tan metrik pada 7 Februari lalu melalui jeti BFI yang dibangunkan khas bagi aktiviti pengeksportan urea yang mampu menampung kapasiti kapal sehingga 9,000DWT.

    Menurut kenyataan dikeluarkan BFI di sini hari ini, eksport itu dibuat selepas kejayaan syarikat menghasilkan urea yang menepati spesifikasi pasaran setelah kerja-kerja pembinaan loji siap dijalankan pada 23 Januari lalu.

    Pada masa ini, penghasilan urea melebihi 3,000 tan sehari dan dijangka meningkat kepada 3,900 tan metrik sehari dalam beberapa bulan akan datang.

    BFI juga berbangga kerana berjaya memainkan peranan penting dalam memenuhi aspirasi kerajaan dalam mempelbagaikan ekonomi negara, pembangunan industri baharu serta seterusnya membukakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

    Gambaran keseluruhan loji dan jeti BFI, manakala gambar sisipan menunjukkan kerja pemunggahan baja urea ke dalam kapal untuk dieksport.
    Kapal MV Ocean 39 dan MV Aquamarine berlabuh di jeti BFI bagi persediaan pemunggahan urea.
    Urea yang telah dihasilkan dan disimpan dalam fasiliti penyimpanan BFI.

    Pada masa ini, BFI mempunyai seramai 479 orang pekerja di mana 66 peratus adalah terdiri daripada anak-anak tempatan yang telah pun diberikan pelbagai latihan bagi meningkatkan kepakaran mereka.

    BFI juga akan terus memberikan peluang bagi anak-anak tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui pembelajaran secara langsung, interaksi dan perkongsian ilmu daripada pakar-pakar industri BFI yang ada pada masa ini.

    Pencapaian BFI adalah merupakan hasil dedikasi, kerja keras dan semangat perpaduan dari semua tenaga kerja Syarikat BFI dan juga sokongan berterusan daripada semua yang terlibat sama ada dari sektor awam dan swasta, tambah kenyataan itu.

    BFI adalah projek bagi penghasilan produk ammonia dan urea yang pertama di Negara Brunei Darussalam di mana syarikat itu ditubuhkan pada 28 Oktober 2013 dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Brunei.

    Projek BFI merupakan antara inisiatif baharu kerajaan yang bertujuan untuk mengembangkan lagi industri hiliran minyak dan gas di negara ini.

    Loji Urea BFI juga merupakan loji urea terbesar di Asia Tenggara secara single-train.

    Urea adalah sejenis campuran organik yang mampu menyuburkan kualiti tanah dan seterusnya menambahkan lagi penghasilan tanaman yang mana ia berperanan penting dalam penghasilan makanan dunia.

    Mengandungi 46 peratus nitrogen, urea mempunyai sumber nitrogen tertinggi di kalangan baja yang tersedia ada dan oleh yang demikian adalah baja yang paling utama dalam pasaran Asia, jelas BFI.

    BFI memainkan peranan penting dalam membekalkan urea kepada negara-negara jiran yang bergantung pada hasil pertanian dengan memenuhi keperluan negara-negara berkenaan terhadap pembekalan baja yang berkualiti tinggi.

    Kegiatan pengeksportan berkenaan akan mengembangkan sektor eksport logistik negara dan seterusnya menjadikan urea sebagai salah satu penyumbang penting dalam perkembangan ekonomi negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...