Brunei berpotensi jadi penyedia teknologi petani bandar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Negara Brunei Darussalam berpotensi untuk menjadi salah sebuah negara penyedia teknologi petani bandar (urban) bagi rantau Asia Tenggara.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata, matlamat utama negara adalah untuk mengembangkan teknologi berkenaan supaya dapat menjana hasil yang lebih besar, berkualiti tinggi, organik dan segar supaya dapat meningkatkan keupayaan sara diri makanan negara serta meningkatkan lagi produktiviti melalui kaedah pertanian moden.

Usaha itu sudah tentu dapat memperbaiki lagi daya saing dan potensi eksport negara serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selaras dengan Pelan Strategik 2016-2020 Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian MADGrow Tech di Bangunan KSSUP, Jalan Menteri Besar, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, selaras dengan aspirasi kementerian, terus memperkenalkan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti dan menjana pertumbuhan sektor pertanian.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika berucap pada Majlis Perasmian MADGrow Tech, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika berucap pada Majlis Perasmian MADGrow Tech, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali mendengar penerangan mengenai kaedah pertanian bandar.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali mendengar penerangan mengenai kaedah pertanian bandar.

Dalam hubungan itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi pertanian baru, MADGrow Tech, memulakan usaha ke arah meningkatkan lagi gaya hidup komuniti pertanian di negara ini dengan memperkenalkan teknologi pertanian moden bagi kegunaan para petani bandar.

Menerusi kerjasama berkenaan, ia diharap akan dapat menjana minat petani tempatan dan usahawan baru untuk meneroka bidang pertanian sebagai prospek kerjaya yang berdaya tahan dan berdikari.

Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi bahawa MADGrow Tech telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan FarmBot iaitu robot bertani dan pada masa yang sama sedang menguji pelbagai rekaan dan pendekatan pertanian bandar untuk memenuhi keperluan dan permintaan petani tempatan serta orang ramai di negara ini.

Beliau menyatakan harapan supaya projek yang dilaksanakan oleh syarikat teknologi tempatan itu dapat meraih kejayaan di luar jangkaan dan pada masa yang sama, beliau amat berharap untuk melihat apa yang mampu disumbangkan oleh teknologi pertanian kepada negara pada masa akan datang.