Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Brunei berpuasa hari ini

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dengan ini memaklumkan 1 Ramadan 1444 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada 23 Mac.

    Sehubungan itu, umat Islam di negara ini mula menunaikan sembahyang Sunat Tarawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara malam ini, 22 Mac selepas sembahyang Fardu Isyak.

    Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1444 Hijrah pada tahun ini dari lokasi-lokasi yang ditentukan.

    Ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Turut hadir di majlis itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Johar bin Haji Muhammad; dan Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

    Pada tahun ini, lima lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan iaitu Menara DST, Ibu Pejabat Bangunan DST, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan Bukit Ambok, Daerah Tutong.

    Terdahulu, acara keagamaan bagi menunggu hasil rukyah 1 Ramadan 1444 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Abdur Rahman bin Haji Mohammed Azmi dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Manakala Tahlil dan Doa Arwah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Perpindahan Kampung Mata-Mata, Gadong, Awang Muhammad Hazif Nur Adib bin Abdul Manaf yang seterusnya mengimamkan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa merukyah anak bulan Ramadan di Menara DST.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1444 Hijrah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...