Brunei capai 78.9% vaksinasi lengkap

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Negara Brunei Darussalam kini cuma memerlukan 1.1 peratus sahaja lagi untuk mencapai 80 peratus jumlah penduduk yang mendapatkan dua vaksin COVID-19 apabila 339,262 orang iaitu 78.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka setakat kelmarin.

Seramai 3,052 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam, kelmarin, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Dengan jumlah tersebut, seramai 402,072 orang iaitu 93.5 peratus daripada jumlah penduduk negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan,

Yang Berhormat Dato mengongsikan statistik berkenaan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 741,334 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi dengan 475,830 pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 99,038, Daerah Tutong sebanyak 86,219 dan Daerah Temburong sebanyak 80,247.