Brunei capai perkembangan baik dalam Peraturan Kesihatan Antarabangsa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Pasukan Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menilai bahawa Negara Brunei Darussalam mencapai perkembangan yang baik dalam pelaksanaan penilaian Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dengan 90 peratus petunjuk di bawah Penilaian Luar Bersama (JEE) mencatatkan markah 3 dan ke atas daripada markah maksimum 5.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam, hari ini, di mana WHO telah menyiapkan penilaian Keupayaan Teras IHR dalam pengesanan dan respons kepada kemungkinan kecemasan kesihatan awam iaitu daripada wabak penyakit berjangkit hingga keselamatan makanan serta lain-lain bahaya termasuk bahan kimia, radiasi dan bencana alam Negara Brunei Darussalam berikutan pengendalian JEE yang diadakan pada 28 Oktober 2019 hingga 1 November 2019.

Menurut kenyataan itu, JEE merupakan proses sukarela di mana sebuah pasukan pakar luar dilantik oleh WHO bersama-sama dengan pakar dalam negara, menilai bersama dan mengkaji semula keupayaan sesebuah negara untuk mencegah, mengesan dan memberikan respons cepat kepada ancaman kesihatan awam utama.

Salah satu elemen yang penting yang menyokong usaha berkenaan ialah penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pelaksanaan IHR di mana Pasukan Penilaian WHO mencadangkan supaya Brunei terus memanfaatkan jawatankuasa kebangsaan berkenaan untuk membina momentum proses JEE, memastikan bahawa jawatankuasa itu mempunyai akauntabiliti jangka panjang bagi pelaksanaan cadangan JEE selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Sekuriti Kesihatan.

Pada masa yang sama, perkembangan yang dicapai dalam pelaksanaan IHR telah amat membantu negara dalam menangani pandemik masa ini, jelas kenyataan itu lagi.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam JEE memberikan satu objektif penilaian mengenai keupayaan kebangsaan negara dengan maklum balas daripada pasukan pakar antarabangsa itu, akan membolehkan Brunei untuk mengukuhkan keupayaannya untuk mengurus kecemasan kesihatan awam.

Kecemasan kesihatan awam boleh berlaku di negara-negara lain iaitu serantau atau di mana sahaja, yang berpotensi untuk memberikan ancaman yang kuat dan cabaran kepada Brunei oleh itu, adalah amat penting untuk sentiasa bersiap sedia sepenuhnya.

Pada masa dahulu, Negara Brunei Darussalam telah menangani beberapa kecemasan kesihatan awam seperti wabak Kolera pada 1999, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, Influenza A H1N1 pada 2009, Zika pada 2016 dan pada masa ini, berhadapan dengan pandemik COVID-19. Kenyataan menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah bergerak jauh ke hadapan dalam memastikan bahawa negara adalah bersedia sedia sepenuhnya dalam memberikan respons kepada kecemasan kesihatan awam.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada permulaan JEE bagi Brunei Darussalam pada 28 Oktober 2019, Negara Brunei Darussalam telah membuat pembaikan yang signifikan untuk menjadikan negara lebih selamat tetapi negara masih perlu untuk meningkatkan keupayaan dan tahap kesiapsiagaannya menerusi pendekatan seluruh negara menghubungkan semua sektor yang relevan termasuk kewangan, kesihatan, pertanian, alam sekitar, responden kecemasan, agensi-agensi keselamatan dan yang lain, bekerjasama rapat untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara.

Negara Brunei Darussalam juga akan mengkaji semula dapatan dan cadangan yang dibuat oleh WHO untuk mengukuhkan lagi keupayaan yang sedia ada dalam menangani ancaman kesihatan awam yang sedia ada dan masa hadapan.

Kenyataan menyatakan bahawa laporan penuh dapat diperoleh di laman sesawang WHO, www.who.int/brunei.