Brunei capai sasaran 70 peratus kadar vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 telah mencecah 70.1 peratus iaitu 301,503 orang setakat 14 November.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, jumlah tersebut sudah melebihi sasaran 70 peratus untuk beralih daripada Fasa Persiapan ke Fasa Peralihan, dan sekarang negara hanya menunggu tarikh yang ditetapkan sahaja lagi yang dirancang akan diadakan pada 19 November ini.

Semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa seramai 3,941 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara, kelmarin, termasuk 1,843 daripada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Oleh yang demikian, seramai 383,195 orang iaitu 89.1 peratus daripada jumlah penduduk negara telah menerima satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas.

“Seramai 43,064 orang iaitu 99.5 peratus telah menerima satu dos vaksin COVID-19 dan seramai 40,125 orang iaitu 92.7 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 684,698 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain iaitu sebanyak 442,490 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 89,392, Daerah Tutong sebanyak 78,414 dan Daerah Temburong sebanyak 74,402.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan mengenai jumlah penduduk di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani