Brunei catat 1 kes baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu kes baharu jangkitan COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 188 orang.

Kes 188 ialah seorang lelaki berumur 35 tahun yang tiba di Brunei dari India melalui Kuala Lumpur, Malaysia pada 19 Februari dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874.

Pengesanan kontak bagi kes berkenaan masih sedang giat dilaksanakan dan pada masa ini, kes itu sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana ketiga-tiga kes aktif yang berada di pusat berkenaan adalah dalam keadaan yang baik.

Lelaki berkenaan hanya mengalami sakit tekak pada 20 Januari sahaja dan pada masa ini, tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Satu kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah kes sembuh kepada 182 orang dengan tiga kes aktif sedang dirawat serta tiga kematian.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei iaitu 302 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 47 kes.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, seramai 675 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 14,081 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 792 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 104,847 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.