Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei catat 1 kes jangkitan COVID-19

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Hanya satu kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari ini yang merupakan rekod paling rendah sejak gelombang kedua koronavirus melanda Negara Brunei Darussalam pada bulan Ogos lalu, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,363 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan jumlah tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan, tiada tambahan kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada mahupun kluster baharu.

    Lima kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster Medait Enterprise Staff House Jangsak, Kluster Kg Menengah Staff House, Kluster 13232, Kluster Tumasek Construction Project dan Kluster Astal Engineering Staff House, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 92 kluster.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Manakala itu, terdapat satu kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

    “Sebanyak 18 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh seramai 15,027 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 236 kes,” kongsinya lagi.

    Beliau turut memaklumkan hanya satu kes dilaporkan dalam kategori 5 yang sedang dirawat di unit rawatan intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan serta bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

    “Sementara itu, tidak ada kes dalam kategori 4,” tambahnya.

    Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,455 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 669,888 ujian.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk memanjatkan syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang telah dikurniakanNya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda