Brunei catat 108 kes baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Sebanyak 108 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam seramai 4,431 orang.

Manakala terdapat tiga kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 76 kluster, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Kluster-kluster baharu berkenaan jelas beliau, ialah Kluster 2034 yang mengandungi sembilan kes baharu; Kluster 4321 yang mengandungi tujuh kes baharu dan Kluster Freshco Batu Satu yang mengandungi lapan kes baharu.

Menurut Yang Berhormat Dato, kesemua kluster baharu tersebut juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

“Terdapat 21 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif itu adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa sidang media yang berlangsung kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Selain itu, beliau juga mengongsikan terdapat satu kes import yang dicatatkan hari ini yang telah tiba dari Manila pada 1 September lalu dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 684.

Sementara itu, 62 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Menurutnya lagi, pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

“Dalam pada itu, 102 kes telah disahkan sembuh hari ini. Jumlah itu termasuk 21 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing,” jelasnya lagi.

Menurutnya, kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke 12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh meningkat kepada sebanyak 2,856 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,548 kes.

“Di kalangan kes aktif tersebut, 11 kes dalam keadaan kritikal yang mana 10 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 28 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” kata Yang Berhormat Dato.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,083 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 282,346 ujian. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]