Brunei catat 139 kes baharu, 112 lagi sudah sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini telah mencatatkan 139 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes seramai 4,814 orang.

“Selain itu, terdapat 41 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada, iaitu mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Sementara itu, terdapat empat kluster baharu telah dikesan yang membawa kepada sejumlah 88 kluster aktif setakat ini.

“Kluster-kluster itu ialah Kluster 4524 yang mengandungi enam kes baharu; Kluster 4446 yang mengandungi 10 kes baharu; Kluster 4699 yang mengandungi lapan kes baharu; dan Kluster 4440 yang mengandungi tiga kes baharu,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya, kesemua kluster baharu itu juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bersama Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media. – Gambar oleh Muiz Matdani

Selain itu, terdapat satu kes import yang tiba di sini dari Rusia melalui Singapura pada 3 September lalu dengan menaiki penerbangan Singapura SQ 148.

Manakala, terdapat 70 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan. “Dalam pada itu, 112 kes telah disahkan sembuh hari ini termasuk 13 kes positif dalam kategori 1 yang membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing,” katanya.

Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 3,256 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,528 kes.

Yang Berhormat Dato kemudiannya mengongsikan dalam kalangan kes aktif, sembilan kes dalam keadaan kritikal, lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation), manakala satu lagi memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Sementara itu, 21 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,925 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 296,362 ujian.

Dalam kenyataan Yang Berhormat Dato, beliau turut mengongsikan Kementerian Kesihatan sangat menghargai kerjasama kes-kes positif yang memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 khususnya dengan sukarela menghadirkan diri untuk diasingkan di pusat-pusat pengasingan yang disediakan.

“Alhamdulillah, kebanyakan kes telah menunjukkan sikap yang positif semasa menjalani pemantauan dan rawatan di pusat-pusat berkenaan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: [email protected]