Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sebanyak 14 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan, membawa jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kepada 25 orang.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 13 orang mempunyai kaitan dengan perkumpulan keagamaan, tabligh di Kuala Lumpur, Malaysia, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa kes 12 ialah seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun yang telah menyertai perkumpulan keagamaan (tabligh) di Kuala Lumpur, Malaysia di mana beliau telah pulang dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan Air Asia AK5644 pada 4 Mac ke Miri, Sarawak.
Beliau kemudian berkongsi kenderaan bersama-sama kes 7, kes 8 dan kes 21 untuk pulang ke Negara Brunei Darussalam dan beliau telah mengalami demam panas bermula pada 6 Mac.
Bagi kes 13 ialah seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan (tabligh) di Kuala Lumpur dan pulang ke tanah air pada 3 Mac dengan menaiki pesawat Air Asia AK278 ke Bandar Seri Begawan (tempat duduk 19A) dan mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan (pening dan batuk) pada 4 Mac.


Sementara itu, kes 14 ialah isteri kepada kes 13 dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur dan beliau tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Bagi kes 15 ialah seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur dan beliau telah pulang ke tanah air pada 3 Mac dengan menaiki pesawat Air Asia AK278 ke Bandar Seri Begawan serta tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Kes 16 ialah seorang lelaki tempatan berumur 63 yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur dan telah pulang ke tanah air pada 5 Mac dengan menaiki penerbangan Royal Brunei BI872 ke Bandar Seri Begawan dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa kes 17 ialah seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur di mana beliau telah pulang ke tanah air pada 3 Mac dengan menaiki penerbangan Royal Brunei BI874 ke Bandar Seri Begawan dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Sementara itu, kes 18, berumur 30 tahun ialah isteri kepada kes 8 dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur dan beliau mempunyai tanda-tanda jangkitan yang ringan (batuk dan selesema). Kes 19 ialah seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur di mana beliau telah ditugaskan sebagai pemandu kenderaan bagi jemaah tabligh dan tidak menyertai perkumpulan keagamaan tersebut. Beliau telah pulang ke tanah air pada 3 Mac dengan menaiki penerbangan Royal Brunei BI874 ke Bandar Seri Begawan dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Kes 20 ialah seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur di mana beliau telah pergi ke Kuala Lumpur pada 27 Februari dan pulang ke tanah air pada 29 Februari dengan menaiki pesawat Air Asia AK278 ke Bandar Seri Begawan. Beliau telah mula mengalami batuk dan selesema pada 9 Mac. Sementara itu, kes 21 ialah seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur di mana beliau telah pulang dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan Air Asia AK5644 pada 4 Mac ke Miri, Sarawak. Beliau kemudian berkongsi kenderaan bersama- sama kes 7, kes 8 dan kes 12 untuk pulang ke Negara Brunei Darussalam dan beliau tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Kes 22 ialah seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang merupakan rakan kerja kepada kes 3 dan beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur serta tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Beliau telah menjalani ujian makmal sebagai sebahagian daripada langkah-langkah penyiasatan kontak bagi kes 3.
Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut bahawa kes 23 ialah seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun yang telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur di mana beliau tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
Kes 24 ialah seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga telah menyertai perkumpulan keagamaan di Kuala Lumpur di mana beliau tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kes 25 ialah seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur dan Kemboja tetapi tidak ada kaitan dengan perkumpulan keagamaan yang diadakan di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur. Beliau telah pulang ke tanah air pada 4 Mac dan mula merasa demam pada 8 Mac.
Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa penyiasatan kontak bagi setiap kes yang baharu disahkan hari ini sedang giat dijalankan di mana kontak terdekat bagi setiap kes (termasuk ahli keluarga, rakan sekerja atau sesiapa yang ada hubungan dengan kes) akan dihubungi dan dinilai daripada segi risiko jangkitan.
Jika kontak-kontak itu didapati terdedah kepada kes yang telah disahkan, mereka akan diarahkan untuk menjalani ujian makmal COVID-19 dan dikuarantin. Sementara itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kementeriannya ingin mengemaskinikan jumlah warganegara tempatan yang telah menyertai perkumpulan keagamaan (tabligh) di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur, Malaysia pada 28 Februari hingga 3 Mac di mana selepas penyiasatan terperinci dilakukan setakat ini, seramai 81 orang warga tempatan telah dikenal pasti menghadiri perkumpulan tersebut di mana 70 orang daripadanya telah kembali ke tanah air.
Daripada jumlah itu, 66 orang daripada mereka telah menjalani ujian makmal bagi COVID-19 dan usaha sedang digiat dilakukan untuk mengesan empat orang lagi jemaah dengan bantuan daripada pihak yang berkuasa. Daripada 66 orang yang telah menjalani ujian makmal, 16 orang telah didapati positif bagi COVID-19, 25 orang telah didapati negatif manakala 25 lagi masih menantikan keputusan ujian.
Dalam pada itu, terdapat 11 orang warga tempatan yang masih berada di luar negara, termasuk tiga orang yang sedang menuntut di Malaysia dan Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya mereka menjalani ujian makmal COVID-19 di mana saja mereka berada dengan secepat mungkin.
Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa semua kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah berada dalam keadaan yang baik dan stabil, tidak menghidap demam panas dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.