Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 20 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,901 orang.
Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, daripada jumlah tersebut, 15 adalah kes tempatan manakala lima adalah kes import.
Beliau mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
“Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 967 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 1.6 peratus,” jelas Yang Berhormat Dato.
Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa satu kes dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi.
“Sebanyak 28 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,452 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 347 kes,” kata beliau.
Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 10.3 peratus.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.7 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 93.8 peratus; manakala kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 33.1 peratus. Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato mengajak orang ramai untuk saling ingat mengingati untuk terus berwaspada dan tidak leka dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menangani penularan wabak COVID-19.
“Patuhi segala SOP dan garis panduan pihak kerajaan semasa Fasa Awal Endemik ini. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam daripada segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19.”