Brunei catat 22 kes baharu, dua lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sebanyak 22 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,058 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, terdapat tambahan enam kes baharu kepada tiga kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Beliau mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Sementara itu, terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan lapan kes.

Kluster-kluster baharu ini adalah kluster kediaman persendirian,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Lima kluster pula telah tamat se-telah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster 12836, Kluster 12893, Kluster Megalift Sdn Bhd, Kluster Kilanas staff house dan Kluster WYWY Lambak staff house, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 132 kluster.

Manakala, terdapat lapan kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 39 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 14,451 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 508 kes,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa empat kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambahnya lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,842 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 614,805 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru kepada orang ramai untuk memohon kepada Allah SWT agar semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa terselamat dan terhindar dari segala penyakit khususnya wabak COVID-19.

“Mudah-mudahan kita semua terus diberikan perlindungan dan dikurniakan kesihatan dan keafiatan.”