Brunei catat 27 kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Sebanyak 27 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,229 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, terdapat tambahan 18 kes baharu kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, terdapat dua kluster baharu telah dikenal pasti yang melibatkan enam kes,” tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, kesemua kluster tersebut merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Massutera Engineering Staff House adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Enam kluster pula telah tamat setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster I-Con Staff House, Kluster Mashor GC Staff House, Kluster Nurisman Sdn Bhd, Kluster 9124, Kluster 4163 dan Kluster Soon Lee Heavy Machineries, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 107 kluster.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, terdapat tiga kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan, 95 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 14,932 kes dengan 197 kes aktif.

Dalam kalangan kes-kes yang dalam rawatan, menurut Yang Berhormat Dato, hanya satu kes dalam kategori 5 yang sedang dirawat di unit rawatan intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) serta bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambah beliau.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,990 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 645,285 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru semua orang untuk sama-sama mematuhi segala garis panduan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan semasa pandemik COVID-19 ini.

“Insya-Allah dengan adanya usaha yang sepadu dan dengan bertawakal kepada Allah SWT, Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa dilindungi dan dipelihara jua,” ujar beliau.