Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Sebanyak 29 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,986 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan bahawa daripada jumlah tersebut, 24 adalah kes tempatan manakala lima lagi adalah kes import.
“Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 2,380 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 1.2 peratus,” jelas beliau lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau turut mengongsikan, dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, satu kes dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi dan tidak ada kes dalam kategori 5.
“Sebanyak 34 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,506 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 378 kes,” katanya.
Sementara itu, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 8.9 peratus.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (18 Januari 2022), Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.7 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 93.8 peratus manakala itu, 34.7 peratus telah menerima tiga dos.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengambil kesempatan menyeru orang ramai untuk terus berusaha dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta mematuhi segala garis panduan Kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
“Semoga Allah SWT sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam daripada segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19,” tambah beliau.