Brunei catat 3 kes import baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Negara Brunei Darussalam mencatatkan tiga kes import baharu COVID-19 hari ini, menjadikan keseluruhan kes COVID-19 kepada seramai 336 orang, sementara satu kes sembuh, menjadikan kes aktif kepada 55 kes.

Menurut Kementerian Kesi-hatan melalui siaran akhbar status terkini jangkitan COVID-19 di negara ini, di sini bahawa kes 334 ialah seorang lelaki berumur 29 tahun dan mengalami demam panas dan kehilangan deria sejak 28/07/21; dan kes 335 ialah seorang lelaki berumur 33 tahun dan mengalami demam panas dan batuk sejak 27 Julai lalu.

Manakala kes 336 ialah seorang perempuan berumur 36 tahun yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu. Beliau mengalami mengalami batuk dan demam panas sejak 19 Julai lalu. Pengesanan kontak mendapati tidak ada kontak terdekat bagi kes tersebut. Dua kes baharu yang dilaporkan iaitu kes 334 dan 335 adalah terdiri daripada lima orang anak kapal MMA Privilege yang masih menjalani kuarantin, di mana 15 daripada sejumlah 18 kru kapal MMA Privilege telah didapati positif dan tiga lagi ahli kru kapal masih menjalani kuarantin.

Sementara itu, satu kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan manakala yang selebihnya adalah dalam keadaan yang baik. Jelas kenyataan itu, kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (450 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 195 kes.

Sejumlah 566 orang pula kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 22,727 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Tambah kenyataan itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 365 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 152,678 ujian. Manakala seramai 159,954 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.