Brunei catat 39 kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Sebanyak 39 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,283 orang.

“Terdapat tambahan lima kes baharu kepada tiga kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau kemudiannya mengongsikan bahawa terdapat empat kluster baharu telah dikenal pasti yang melibatkan 26 kes.

“Kesemua kluster ini merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Rajiya Interior & Construction Sdn Bhd adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Enam kluster pula telah tamat setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster WSS Kiulap Construction Dormitory, Kluster 13978, Kluster Jalan Pasir Berakas Construction Staff House, Kluster Batu Apoi Construction Staff House, Kluster 9761 dan Kluster Hasnaljar Sdn Bhd, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 104.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sesi sidang media harian di Kementerian Kesihatan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Manakala itu, terdapat lapan kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato seterusnya memaklumkan bahawa sebanyak 60 kes telah disahkan sembuh pada hari ini.

“Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan telah membuat perkiraan semula dan ingin membuat pembetulan mengenai jumlah kes aktif yang ada pada masa sekarang yang mana jumlah kes aktif ialah sebanyak 298 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, menurut beliau, satu kes dalam kategori 5 yang sedang dirawat di unit rawatan intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) serta bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, terdapat satu kes dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambah Yang Berhormat Dato.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,411 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 653,559 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru semua orang untuk sama-sama berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan dan terselamat daripada segala jenis penyakit khususnya jangkitan COVID-19.

“Mudah-mudahan segala usaha yang kita laksanakan dalam mengawal penularan COVID-19 ini dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan olehNya jua,” ujarnya.