Brunei catat 63 kes baharu, 105 lagi sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini telah merekodkan sebanyak 63 kes baharu jangkitan COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus seramai 3,894 orang.

Daripada jumlah kes baru tersebut, terdapat 24 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, berkata kes-kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, 39 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” kongsinya.

Menurutnya lagi, pengesanan kontak bagi semua kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, 105 kes telah disahkan sembuh hari ini yang termasuk 35 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Yang Berhormat Dato menjelaskan kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh yang demikian, jumlah kes yang sembuh di negara ini meningkat kepada sebanyak 2,418 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,454 kes.

Beliau turut menjelaskan dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes dalam keadaan kritikal yang mana lapan daripada-nya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Manakala satu kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 32 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Dalam sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa kelmarin (9 September 2021), satu kes lagi telah selamat melahirkan seorang anak damit lelaki melalui pembedahan yang mana ibu dan anak adalah dalam keadaan yang baik.

Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,461 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 269,041 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: [email protected]