Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Lapan kes baharu COVID-19 dicatatkan di negara ini hari ini, dengan enam adalah kes tempatan dan dua lagi kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada15,499 orang.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan dikeluarkan di sini hari ini, jumlah kes baharu itu adalah daripada 649 jumlah ujian makmal yang dijalankan dalam tempoh 24 jam lalu, oleh itu kadar kes positif ialah 1.2 peratus.
Hanya satu kes dalam Kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di unit rawatan rapi manakala tiada kes kategori empat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Manakala 19 orang disahkan sembuh, membawa jumlah sembuh kepada 15,299 kes dan jumlah kes aktif pula 100 kes.
Kadar penggunaan katil di pusat pengasingan di seluruh negara pula sebanyak 2.3 peratus.
Bagi Program Vaksinasi Kebangsaan setakat 30 Disember 2021, kadar keseluruhan penduduk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah 94.5 peratus; sejumlah 93.3 peratus menerima dua dos manakala dos ketiga pula 21.4 peratus.