BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Negara Brunei Darussalam telah mencatat imbangan perdagangan sebanyak $376.9 juta pada bulan Februari dengan jumlah eksport sebanyak $649.9 juta dan import bernilai $273.0 juta.
Eksport bahan api galian mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 93.8 peratus daripada jumlah eksport iaitu yang terdiri daripada minyak mentah ($262.4 juta) dan gas cecair asli (LNG) ($347.0 juta).
Pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 24.0 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Republik Korea (16.5 peratus), India (14.5 peratus) dan Malaysia (12.5 peratus).
Pada Februari 2017, import barangan menurun sebanyak 16.2 peratus daripada $325.8 juta (Januari 2017) kepada $273.0 juta. Manakala sumbangan import tertinggi mengikut komoditi adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan (39.6 peratus), barang-barang keluaran kilang (16.4 peratus), makanan (15.7 peratus), bahan-bahan api galian (9.5 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (7.8 peratus).
Import barang perantaraan mencatatkan sebanyak 59.9 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh import barang modal dan barang penggunaan masing-masing dengan 31.3 peratus dan 8.8 peratus.
Import terbesar adalah dari negara Amerika Syarikat sebanyak 24.1 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh Malaysia (19.6 peratus), Singapura (18.4 peratus) dan China (8.6 peratus).
Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘Sistem Am’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi bulan Februari 2017 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.