Brunei catat kes ke-144

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Satu kes baharu jangkitan COVID-19 telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 144 orang.

Kenyataan tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes 144 merupakan seorang lelaki berumur 36 tahun yang tiba ke negara ini dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874 pada 19 Ogos 2020 melalui Kuala Lumpur dari India.

“Kes itu dikesan melalui program saringan ujian swab COVID-19 yang mana beliau dilaporkan mengalami demam panas semasa tiba di negara ini tetapi tidak lagi menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan pada masa sekarang. Pada masa ini, beliau sedang menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti seramai 19 orang kontak di mana 14 orang daripadanya telah menjalani ujian swab dan disahkan negatif manakala selebihnya masih menunggu hasil keputusan ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Kesemua kontak sedang menjalani kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Dengan kes terbaharu itu, dua kes aktif telah dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan ketika ini dengan kedua-duanya dalam keadaan yang baik, manakala jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh kekal seramai 139 orang.

Sementara itu, seramai 615 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan di mana jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah 4,618 orang.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 480 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 50,336 ujian. Semasa sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kes baharu tersebut merupakan seorang ekspatriat yang telah bekerja di Brunei selama lima tahun. Beliau telah pulang ke negaranya sejak Februari lalu dan sekarang kembali ke Brunei.

Manakala kontak-kontak terdekatnya adalah mereka yang dalam satu penerbangan bersama beliau menggunakan BI874.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menjawab persoalan mengenai adakah Brunei akan melonggarkan sekatan perjalanan bermula September ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh pihak Singapura membenarkan pengunjung dari Brunei ke negara tersebut tanpa menjalani kuarantin dan cuma memerlukan ujian COVID-19.

“Mengenai perjalanan (ke luar negara) ini, terdapat pasukan petugas khas yang menguruskan perkara tersebut. Pada masa ini, belum ada pengumuman mengenai pelonggaran sekatan sempadan untuk orang Brunei.

“Jadi, kami menghargai negara jiran kita yang membenarkan kita pergi ke sana, tetapi sebagai kerajaan di sini, kami belum melonggarkan sekatan untuk warga Brunei melakukan perjalanan keluar negara terutama untuk bercuti,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.